Monday 24 December 2012

ETIKA PROFESION PERGURUAN




PENGENALAN
Dalam kamus dewan, etika membawa maksud satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Menurut kamus oxford pula, etika ialah prinsip moral atau set prinsip moral. Profesion pula bermaksud pekerjaan terutamanya yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan yang khas misalnya dalam bidang undang-undang, senibina, perubatan, perakaunan dan lain-lain. ‘keguruan’ pula membawa maksud tugas dan tanggungjawab (kerjaya) sebagai guru. Kesimpulannya, etika guru dalam pendidikan ini adalah sangat penting. Etika pelajar yang diajar oleh seorang guru yang tidak bersahsiah mencerminkan diri seorang guru yang tidak beretika. Guru yang baik dan beretika akan melahirkan generasi yang baik dan berjaya.


Begitu juga dengan isu etika guru bukanlah cerita baru yang menghiasi dada akhbar dan kini sering dibicarakan di kaca televisyen. Profesion perguruan hari ini dilihat semakin goyah kerana ada segelintir golongan guru yang melanggar kod etika keguruan yang telah sedia termaktub. Ini jelas  apabila semakin banyak isu salah laku guru tersiar di kaca televisyen, menjadi topik perbincangan pihak tertentu dan menghiasi dada-dada akhbar. Terdapat pelbagai jenis salahlaku yang dilakukan oleh guru yang mana bukan hanya melanggar etika profesion perguruan tetapi juga telah terlibat dengan akta jenayah negara.  Ini sudah tentu akan mencemarkan martabat profesion perguruan sebagai satu profesion yang mulia pada pandangan masyarakat. Berikut merupakan antara isu ponteng yang kini semakin menular dikalangan guru. Isu ini telah melanggar peraturan dan boleh dikenakan tindakan tatatertib.

DEFINISI PONTENG
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002), ponteng dari segi bahasa boleh didefinisikan sebagai kecoh, tipu, lari daripada tugas yakni tanggungjawab dan lain-lain
Manakala ponteng dari segi istilah merujuk kepada tidak hadir bertugas tanpa sebarang surat akuan sakit mahupun apa-apa sebab yang munasabah. Menurut Cascio (2005), ketidakhadiran bermaksud apa-apa sahaja kegagalan seseorang pekerja daripada melaporkan diri ataupun tidak berada di tempat kerja mengikut masa yang telah ditetapkan atas apa alasan sekalipun. Ini menunjukkan apabila seseorang pekerja itu tidak datang ke pejabat pada waktu bekerja maka mereka dianggap sebagai tidak hadir. Sekiranya seseorang pekerja tidak hadir tanpa sebarang sebab yang munasabah, ianya boleh dianggap sebagai ponteng kerja.

Oleh itu, guru ponteng bermaksud guru yang lari daripada melakukan tugas yang diamanahkan kepada mereka, sama ada tugas utama iaitu mengajar atau tugas-tugas sampingan seperti hadir mesyuarat, melaksanakan program dan sebagainya. Faktor utama yang menyebabkan berlakunya masalah ponteng ini ialah faktor sikap guru itu sendiri.

JENIS-JENIS PONTENG
Ponteng boleh dikategorikan dalam beberapa jenis, iaitu ponteng sekolah, ponteng kelas dan ponteng tugasan. Kesemua jenis ponteng ini memberi kesan negatif kepada murid dan sekolah.

a)      Ponteng sekolah
Ponteng sekolah bermaksud guru tidak hadir bertugas ke sekolah tanpa sebab atau dengan sebab yang tidak munasabah. Ponteng jenis ini memberi kesan yang sangat besar kepada pembangunan dan pencapaian sesebuah sekolah dan muridnya. Antara alasan-alasan yang sering diguna oleh guru ialah kurang sihat dan anak kurang sihat. Guru juga ponteng sekolah dengan pulang ke kampung lebih awal terutamanya ketika musim cuti sekolah dan musim-musim perayaan dengan pelbagai alasan yang kurang logik.

b)     Ponteng kelas
Ponteng kelas pula bermaksud guru tidak masuk mengajar ke kelas atau lewat wasuk ke dalam kelas dengan sengaja atau keluar lebih awal sebelum masa pengajaran dan pembelajaran tamat tanpa alasan yang munasabah. Sikap guru yang lebih suka melepak di kantin sekolah, berbual atau bersembang kosong dengan rakan, melayari facebook dan sebagainya. Guru bermasalah ini menjadikan aktiviti-aktiviti sampingan  lebih penting berbanding mengajar di dalam bilik darjah. Ponteng jenis ini memberi kesan yang amat besar kepada pencapaian murid dalam akademik.

c)         Ponteng tugasan
Ponteng tugasan ialah tidak melaksanakan arahan yang diberikan oleh pihak pentadbir sekolah. Contohnya guru tidak menghadirkan diri dalam sesi mesyuarat yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah, tidak menghadirikan diri semasa aktiviti atau kegiatan ko-kurikulum dijalankan, tidak menyertai program yang dilaksanakan di sekolah tanpa alasan yang munasabah dan kukuh, tidak menyiapkan kerja dan sebagainya. Ponteng jenis ini menyebabkan kelancaran sesuatu program yang dijalankan oleh pihak sekolah akan terbantut.

FAKTOR-FAKTOR PONTENG
Dalam mengkaji isu ponteng yang dilakukan oleh guru, terdapat beberapa faktor yang dikenal pasti yang memungkinkan guru-guru mengambil jalan mudah untuk ponteng. Hal ini merangkumi aspek dalaman dan luaran yang mana masing-masing memberi impak kepada pembangunan sahsiah seorang guru.

i)          Faktor Dalaman

a)      Kurangan Pegangan Agama.
Guru tidak menghayati apa yang diajarkan dalam agama. Agama Islam contohnya menganjurkan agar umatnya berkerja dengan ikhlas, amanah dan penuh bertanggungjawab. Kerja adalah satu ibadah dan ramai diantara guru yang bekerja tetapi tidak bersungguh-sungguh, tidak amanah. Walaupun ramai diantaranya yang berpuasa dan menunaikan solat tetapi perbuatan seperti ponteng tetap berlaku dalam pekerjaan (Pahrol Mohamad Juoi, 2010). Guru menganggap ponteng adalah perkara biasa dan tidak berkait dengan pahala dan dosa. Walhal guru perlu menjadikan pekerjaan sebagai satu sumber yang halal untuk dinikmati oleh anak-anak dan ahli keluarga.

b)     Kurang motivasi dari dalaman guru.
Guru terbeban dengan hal-hal persekitaran yana mungkin menyebabkan guru dibelenggu rasa kecewa kurang motivasi, lemah semangat, dihimpit bebanan sehinggakan guru merasa tertekan, depresi, kurang minat mengajar dan sebagainya. Tanpa motivasi diri, seseorang guru itu akan mendapat kesan yang tidak disedari seperti hilang fokus, tiada matlamat yang jelas, hilang minat dan luntur komitmen dalaman (Pendidik, September 2010).

c)      Gangguan emosi.
Emosi yang tidak stabil akan menyebabkan kemurungan. Kemurungan yang melampau boleh memberi kesan negatif dalam kehidupan sehingga membawa kepada gejala yang tidak sihat kepada tubuh badan dan pemikiran. Selain itu juga kemurungan boleh menyebabkan  seseorang bertindak mengasingkan diri dari kelompok rakan dan masyarakat (Pendidik, April 2010). Gangguan emosi ini terhasil apabila guru-guru tidak mencapai keperluan peribadi. Misalnya seorang guru mempunyai sasaran terhadap keputusan markah murid-murid dalam peperiksaan. Apabila telah berulang kali keputusan yang diharapkan tidak memenuhi sasaran yang diharapkan, guru akan merasa kecewa, rasa putus dan akhirnya menganggu kerja-kerja guru yang lain. Penambahan masalah akhirnya guru mengambil jalan untuk ponteng kelas, dan ponteng kerja.

d)     Sifat yang tidak ikhlas
Ikhlas selalunya dikaitkan dengan bersedekah, jarang-jarang sekali ikhlas dikaitkan dengan kerja atau profesion, jika ada ianya hanya disebut sepintas lalu. Ini adalah satu persoalan yang penting kerana apabila kerja dianggap sebagai satu ibadah, maka inti pati atau terasnya mestilah sifat ikhlas. Ikhlas adalah nilai teras yang membuahkan nilai-nilai yang lain. Ikhlaslah melahirkan integriti, produktiviti dan kualiti juga lain-lain nilai murni dalam pekerjaan. Ikhlas adalah pemantau dalaman yang menjamin seseorang itu berlaku telus, lurus dan benar sebelum, semasa dan selepas sesuatu pekerjaan dilakukan (Pahrol Mohamad Juoi, 2010). Jika seseorang guru tidak ikhlas, maka amat sukar baginya menumpukan sepenuh perhatian terhadap pekerjaan utama di sekolah dan yang paling penting kepada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah

ii)                  Faktor Luaran

a)      Tekanan beban kerja
Kyriacou & Sutcliffe, (1978) menyatakan bahawa tekanan guru boleh ditakrifkan sebagai perasaan tidak selesa, emosi negatif seperti marah, kebimbangan, tekanan serta kekecewaan yang berpunca dari aspek kerja mereka sebagai seorang guru. Dalam hal ini, guru yang menghadapi tekanan adalah guru yang tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan budaya pendidikan yang bukan sahaja untuk memberi ilmu pengetahuan tetapi perlu mendidik manusia agar menjadi modal insan yang berguna kepada masyarakat. Guru terpaksa melakukan kerja lebih masa, perkeranian, menyediakan alat bantu mengajar, menghadiri kursus atau bengkel sepanjang minggu sambil terpaksa melakukan penyesuaian terhadap kaedah pengajaran yang baru sehingga mengabaikan emosi dan kehendak dalaman mereka. Seorang guru di Sarawak juga menyuarakan tentang suasana kerjanya di salah sebuah sekolah membuktikan bahawa dalam era pemodenan pendidikan ini masih terdapat suasana tidak selesa pada tempat kerja guru. Apa yang digambarkan adalah, isu kepadatan guru dalam bilik guru, masalah kongsi meja dan penyediaan perabut yang tidak sesuai serta mencukupi. (Berita Harian, 19 Julai 2005). Hal ini menyebabkan guru bertindak ponteng daripada membebankan emosi dan perasaan mereka dengan tekanan.


b)     Murid yang tidak menghormati guru
Dalam era modenisasi kini, murid kurang menghargai dan menghormati perasaaan guru. Sambutan Hari Guru saban tahun semakin hambar dan tidak terkesan di dalam sanubari murid-murid. Tiada  lagi ucapan penghargaan kepada guru yang diterima oleh murid. Mereka leka dengan aktiviti persekitaran tanpa menghargai perasaan guru yang selama ini mencurahkan khidmat bakti menjadikan mereka modal insan yang akan menentukan corak kepimpinan negara pada masa akan datang. Murid tidak lagi menjadikan guru sebagai role model mereka tetapi lebih memilih artis-artis barat dan tempatan sebagai ikutan mereka. Guru yang bersemangat mendidik anak bangsa seringkali dikejutkan dengan tindakan murid yang diluar jangkaan seperti memancitkan dan menconteng kereta guru, memandang sinis guru, tidak menyiapkan kerja sekolah yang diarahkan, tidak mematuhi arahan, melanggar disiplin sekolah dan sebagainya. Bagi golongan guru yang tidak mempunyai kekuatan emosi mereka lebih mudah memilih jalan ponteng sebagai penyelesaian kepada permasalahan yang mereka hadapi.

c)      Kurang galakan dan pemantauan dari pentadbir
Faktor ini juga amat penting dalam menjadikan pekerjaan guru sebagai satu profesion yang berjaya. Pentadbir yang perihatin selalu mengambil berat akan masalah kakitangan bawahan. Bukan bermaksud untuk mencampuri urusan guru berkenaan, tetapi lebih kepada mengelakkan masalah guru menjadi lebih berat sehingga boleh mengganggu tugas-tugas mereka di sekolah. Pentadbir juga perlu mengambil tindakan serta merta kepada guru yang sering ponteng. Ini kerana ditakuti gejala ini akan diikuti oleh guru-guru lain apabila mendapati pihak pentadbir terutamanya Guru Besar tidak mengambil tindakan kepada guru yang melakukan kesalahan.

d)     Jarak sekolah dan keadaan persekitaraan
Keadaan ini biasanya merujuk kepada di mana guru itu mengajar. Bagi guru  yang mengajar di luar bandar, dan di pulau-pulau guru lebih terdedah untuk ponteng sekolah memandangkan kurangnya lawatan dari pihak atasan dan nazir. Guru mengambil cuti lebih awal dari masa yang ditetapkan untuk tujuan tertentu seperti pulang untuk sambutan perayaan dan cuti persekolahan. Hal ini telah disahkan apabila Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Dr Muhiddin bin Yussin berkata, perkara itu dikenalpasti hasil lawatan jemaah nazir sekolah dari Kementerian Pelajaran ke sekolah-sekolah baru-baru ini (Berita Harian). Lain pula halnya apabila guru tersebut mengajar di kawasan bandar. Guru akan keluar pada sesi persekolahan untuk memenuhi keperluan peribadi dan keluarga. Contohnya guru akan keluar untuk membeli barang-barang dapur, keperluan anak-anak, keperluan peribadi, mengambil wang gaji pada sesi persekolahan berjalan. Guru akan keluar apabila mempunyai masa terluang terutamanya rehat dan tidak ada kelas dalam jadual. Namun  guru tidak sedar sebenarnya mereka juga dikategorikan sebagai ponteng kerana tidak berada di kawasan persekolahan pada sesi persekolahan berjalan demi untuk memenuhi keperluan peribadi.

e)      Pengaruh rakan-rakan
Pengaruh rakan sejawat dan rakan sekeliling juga mempengaruhi isu ponteng guru. Ini kerana guru baru contohnya akan mudah terpengaruh dengan sifat rakan guru yang malas, membuat kerja sambil lewa dan sering ponteng. Besar kemungkinan ponteng telah menjadi kebiasaan kepada guru-guru disekelilingnya dan ini menjadikan guru tersebut terikut-ikut dan terbawa-bawa dengan sahsiah negatif  guru lain lebih-lebih lagi jika pihak pentadbir sekolah tersebut tidak menangani isu ponteng  ini dengan tegas.

f)       Penyalahgunaan dadah
Penyalahgunaan dadah merupakan salah satu penyebab utama berlakunya masalah ponteng di kalangan guru. Guru yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah akan hilang kawalan diri dan tidak mampu untuk berfikiran dengan waras. Mereka ini telah hanyut dalam dunia mereka sendiri dan telah hilang matlamat sebenar kehidupan. Spiritual mereka amat lemah, manakala emosi mereka sukar dikawal dan mudah tertekan. Apabila seseorang guru telah terlibat dengan penyalahgunaan dadah, mereka akan lebih mudah dihimpit dengan pelbagai masalah lain, contohnya kewangan, ponteng kerja, masalah keluarga, tindakan undang-undang dan sebagainya.

IMPLIKASI ISU PONTENG
a)      Kepada Murid
Apabila guru ponteng kelas, murid akan tercicir dalam pelajaran. Ini kerana pelajaran yang sepatutnya dikuasai oleh murid tidak dapat diaplikasikan terutamanya dalam menjawab soalan-soalan ujian dan peperiksaan. Secara tidak langsung murid-murid akan mengalami masalah pembelajaran di sekolah, lebih-lebih lagi kepada murid yang mempunyai tahap kebolehan yang rendah. Di samping itu juga, akan berlaku masalah disiplin terutamanya jika guru tiada di dalam kelas. Murid yang lebih agresif akan membuli rakan murid yang lemah. Murid-murid ini juga akan bertindak di luar kawalan apabila cuba merosakkan harta benda sekolah seperti meja dan kerusi di dalam kelas. Guru adalah role model kepada murid-murid di sekolah, maka tidak hairanlah jika ada murid yang mengikut sahsiah guru yang negatif seperti ponteng sekolah. Murid beranggapan jika guru boleh ponteng kelas, mengapa mereka tidak boleh mengikut guru tersebut sedangkan guru adalah cerminan kemenjadian murid di sekolah.

b)     Kepada Sekolah
Apabila isu ponteng membawa kesan kepada murid, secara tidak langsung isu ini juga tentu akan mendatangkan impak kepada sekolah. Keputusan peperiksaan akan merosot dan  tentu sahaja sekolah terpaksa menjawab dengan pihak jabatan punca kemerosotan peratus kelulusan murid. Sekolah pastinya akan dikategorikan sebagai sekolah berprestasi rendah. Ini pastinya akan menjatuhkan imej sekolah dan pentadbirnya. Seterusnya pihak sekolah dan guru akan dibebenkan dengan pelbagai program untuk membaiki dan memulihkan imej sekolah yang telah tercalar.

c)      Kepada Profesion Perguruan
Gejala ponteng hanya dilakukan oleh segelintir guru,  tetapi seperti kata pepatah “kerana nila setitik rosak susu sebelanga”. Kesan daripada tindakan segelintir guru tadi akan merosakkan  dan mencemarkan imej profesion perguruan. Masyarakat lebih cenderung melihat dan menilai sesuatu yang negatif berbanding perkara positif. Masyarakat dan ibu bapa akan memandang sinis akan profesion perguruan dan tidak yakin dengan kebolehan guru-guru dalam mendidik anak mereka.

d)     Kepada Ibu bapa
Kesan daripada guru ponteng juga memberi kesan yang negatif kepada ibu bapa murid. Mereka akan merasa kecewa sekiranya anak mereka gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Mereka akan meletakkan kesalahan kepada pihak sekolah. Mereka lebih menghormati dan mempercayai guru-guru luar seperti guru-guru tuisyen yang mengajar anak mereka daripada guru-guru di sekolah. Mereka lebih rela membelanjakan wang ringgit demi untuk ilmu dan kemenjadian anak mereka daripada mengharapkan guru-guru yang tidak berkualiti dan tidak beretika. Ibu bapa akan rasa terkilan jika guru yang dibayar gaji untuk mengajar anak mereka tetapi tidak melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sepenuh hati.

LANGKAH-LANGKAH PENYELESAIAN
a)      Pihak Pentadbir
Perbincangan - Pelbagai langkah yang boleh diambil oleh pihak pentadbir bagi mengelakkan masalah ponteng  ini dari terus berlarutan dan menjadi ikutan kepada guru-guru lain. Pihak pentadbir perlu mengadakan perbincangan dengan guru yang bermasalah iaitu guru yang sering ponteng. Ini bertujuan mengkaji dan mengetahui mengapa guru mengambil tindakan sedemikian sehingga mengabaikan tanggungjawab dan peranan mereka di sekolah. Pihak pentadbir perlu bersemuka dan mendekatkan diri kepada guru-guru ini bagi mengetahui punca masalah ini berlaku. Nasihat, dan motivasi diperlukan agar perkara seperti ini tidak akan berulang dikemudian hari.
Surat Tunjuk Sebab – Jika perbincangan telah pun dijalankan dan perkara ini masih tetap berulang, pihak pentadbir akan mengeluarkan surat tunjuk sebab dan surat amaran bagi memberi  amaran kepada guru tersebut. Surat tunjuk sebab ini menunjukkan bahawa pihak pentadbir amat memandang berat akan isu ponteng ini. Dalam sesetengah kes, guru yang ponteng akan kembali bertugas setelah mendapat surat tersebut.
Merujuk Kepada Lembaga Tatatertib - Namun demikin jika perkara ini masih berlanjutan, pihak pentadbir iaitu Guru Besar mempunyai kuasa merujuk guru bermasalah tersebut kepada lembaga tatatertib selaras dengan Peraturan 25(1)  yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993 Bahagian III.

b)     Pihak Guru
Kembali Kepada Pegangan Agama – Dengan mendalami ilmu agama, seseorang guru itu akan sedar peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan perlu dilaksanankan dengan sebaik yang mungkin dan berusaha untuk menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas.
Memotivasikan diri sendiri / Mengubah sikap – Apabila guru berasa tidak lagi bersemangat mengajar sehingga hilang fokus, dan tidak berupaya menjalankan tugas kerana menghadapi masalah tertentu, maka amat penting bagi seorang guru mempunyai kekuatan dalaman yang kuat untuk membantu menaikkan semangat diri bagi menghadapi masalah tertentu.
Menghadiri sesi kaunseling secara sukarela – Seandainya jika masalah yang dihadapi masih berpanjangan, adalah lebih baik guru tersebut menghadiri sesi kaunseling dalam mencari jalan keluar yang terbaik

RUMUSAN
Dapatlah dirumuskan bahawa, isu ponteng bukan sahaja melanggar etika profesion perguruan, malah kesannya boleh mempengaruhi semua pihak sama ada murid, sekolah, ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Tindakan yang tegas dan pantas daripada pihak pentadbir akan dapat menyelesaikan masalah ini. Namun sering kali pihak pentadbir terlewat mengambil tindakan yang menyebabkan  masalah ponteng ini berlarutan. Oleh yang demikian perlu ada pemantauan yang berterusan daripada pentadbir dan pihak jabatan untuk memastikan masalah ponteng di kalangan guru dapat dibendung.

TUGASAN 1(b)
Guru perlu melengkapkan diri dengan sudut keilmuan dan sahsiah, berintegriti, beriltizam dan mempunyai kesedaran untuk membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (Muhyiddin Yassin, 17 Mac 2011). Namun demikian apabila sahsiah guru menyimpang dari kehendak dan melanggar etika profesion perguruan tentu sahaja ia memberi kesan kepada pembangunan sahsiah guru.        
Pada kebiasaannya masalah ponteng di kalangan guru akan membentuk seseorang guru yang bersahsiah negatif. Namun jika sekiranya pihak yang bertanggungjawab mengambil proaktif dan pantas, guru yang terlibat dalam masalah ponteng ini dapat diselamatkan dan akan membantu pembangunan sahsiah positif dalam diri guru tersebut.
Oleh yang demikian saya akan menghuraikan aspek pembangunan sahsiah negatif dan positif dalam tugasan ini. Pembangunan sahsiah diri guru ini akan dipecahkan kepada lima aspek utama iaitu spiritual (rohani), emosi, fizikal, cara berfikir dan interaksi atau hubungan dengan orang lain.

a)      Pembangunan Sahsiah Negatif
Pembangunan sahsiah negatif ialah pembentukan nilai-nilai tidak efektif dalam diri seseorang individu. Pembangunan sahsiah negatif menghasilkan individu yang gagal, tidak berkarisma dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas. Ia akan dibincangkan secara lebih lanjut mengikut aspek-aspek yang berikut :
Spiritual (Rohani)
Tingkah laku yang bermasalah mencerminkan rohani yang lemah. Guru tersebut tidak mempunyai akidah dan pegangan hidup yang betul menyebabkan guru tersebut hanyut dalam memandu dirinya dan tanpa sedar semakin jauh daripada perlakuan yang betul. Maka lahirlah individu guru yang tiada matlamat dan tujuan hidup, sentiasa membuat keputusan tanpa ada pertimbangan yang wajar.
Emosi
Salah satu faktor ponteng dikalangan guru adalah disebabkan gangguan emosi iaitu emosi yang tidak stabil. Emosi yang tidak stabil merupakan salah satu punca kemurungan yang mana kemurungan ini boleh membawa kepada pembangunan sahsiah yang negatif. Seseorang yang mengalami kemurungan akan menyisihkan diri daripada rakan dan masyarakat, mudah menjadi marah, kelesuan, perasaan rendah diri, kesedihan dan mudah berkecil hati (Pendidik, April 2010). Kesan emosi ini bukan sahaja merosakkan diri sendiri malah mengganggu individu  dan masyarakat yang berada di sekeliling.  

Fizikal  

Aspek fizikal ialah apa yang kita lihat daripada tindak tanduk atau perlakuan guru tersebut. Oleh itu kesan ponteng ini akan melahirkan individu guru yang tidak kemas kerana emosi yang terganggu sehingga mengabaikan kekemasan diri. Tentu sahaja guru yang ponteng tidak amanah dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Tugas yang diberikan tidak dilaksanakan dengan sempurna dan tidak memenuhi kehendak dan keperluan sekolah khususnya. Selain itu juga, guru yang ponteng sering tidak menepati masa, sering lewat ke sekolah dan menangguhkan kerja sehingga mengganggu tugas dan tanggungjawab orang lain. Kerja yang diberikan juga dilakukan sambil lewa asalkan siap. Kesan sebegini bukan sahaja merosakkan diri sendiri tetapi juga mencemarkan kreadibiliti sahsiah guru.

Cara berfikir

Kesan seorang guru yang sering ponteng mempunyai cara berfikir yang berbeza dengan guru yang amanah yakni berintegriti. Guru ini  lebih mementingkan diri sendiri atau keperluan peribadi daripada kepentingan sekolah dan orang lain. Tindak sanggup berkorban masa dan tenaga untuk orang lain kegunaan orang lain. Jarang sekali melakukan sesuatu tugasi melainkan jika tugas dan perkara yang dilakukan mendapat ganjaran dan berkepentingan untuk diri sendiri.

Interaksi atau hubungan dengan orang lain
Tentu sahaja interaksi atau hubungan guru yang ponteng dengan guru lain tidak berjalan dengan baik dan renggang. Masyarakat sekeliling akan memandang enteng kepada guru terbabit, pendapat yang disuarakan kurang mendapat sambutan daripada orang lain. Tentu sahaja mereka beranggapan guru tersebut berinteraksi hanya untuk tujuan dan matlamat tertentu. Manakala hubungan guru dengan murid juga terjejaskerana kurangnya interaksi antara guru dan murid disebabkan ketiadaan guru di dalam kelas untuk melihat perkembangan murid. Kekurangan kemahiran interpersonal dan juga interaksi sosial di persekitaran sekolah yang  kompleks semakin terjejas. Tentunya matlamat yang ingin dicapai dalam kemenjadian murid menjadi lebih sukar jika interaksi antara guru dan murid menjadi hambar.


b)          Pembangunan Sahsiah Positif
Pembangunan sahsiah guru yang terlibat dengan isu negatif yakni ponteng boleh menjadi positif sekiranya individu itu sedar akan kesilapan dan kesalahan yang dilakukannya dan sanggup berubah untuk kepentingan semua pihak. Perkara ini boleh berlaku jika pihak yang bertanggungjawab mengambil langkah yang tegas untuk menangani masalah tersebut. Ia juga bergantung kepada individu bermasalah itu untuk menjalani proses memperbaiki diri  melalui pelbagai aspek. Guru yang pernah terjebak dalam masalah ponteng ini akan lebih memahami isu ponteng berbanding orang yang belajar dan mengkaji  isu ponteng kerana mereka mengalami sendiri situasi dan kesan negatif daripada masalah tersebut.

Spiritual (Rohani)
Apabila individu itu sedar akan kesilapannya dan mengenalpasti ianya berpunca daripada spiritualnya yang lemah, maka sudah pasti individu itu akan berusaha membangunkan spiritualnya. Menurut persepektif Islam, pembentukan spiritual yang positif ialah apabila seseorang individu itu berusaha mendekatkan diri kepada penciptanya. Apabila individu guru yang mempunyai masalah kembali kepada kehendak dan ajaran agamanya maka segala masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan fikiran yang waras. Aspek spiritual yang mantap akan menghasilkan insan yang unggul, berpendirian teguh  iaitu individu yang mempunyai matlamat dan hala tuju yang jelas dalam hidupnya dan tidak mudah digugat oleh  faktor dalaman dan luaran. Dia bukan sahaja boleh memandu diri sendiri bahkan mampu membimbing orang lain ke arah kebaikan sebagaiman contoh pembangunan spiritual Saidina Umar daripada keadaan jahiliah kepada insan yang unggul dalam sejarah Islam hasil daripada pembangunan spiritual yang berkesan.

Emosi
Pembangunan emosi yang positif daripada tingkah laku negatif boleh berlaku apabila individu tersebut dapat memotivasikan dirinya sendiri atau memilih untuk mengikuti sesi kaunseling. Melalui kaunseling yang berkesan, individu tadi dapat menjadikan peristiwa yang pernah dialaminya sebagai pengalaman dan pelajaran yang amat berharga. Orang yang pernah mengalami situasi sukar akan lebih tabah dan lebih matang dalam menjalani kehidupan iaitu sentiasa belajar dari pengalaman. Individu tersebut akan lebih berupaya mengawal emosinya apabila berhadapan dengan situasi yang sukar dan melihat setiap perkara yang berlaku dari sudut yang positif.  Oleh itu lahirlah seorang individu yang mempunyai emosi yang stabil dan tenang serta bersedia menerima teguran dan kritikan dengan hati yang terbuka.

Fizikal
Setelah spiritual mantap dan emosi menjadi stabil, pembangunan sahsiah fizikal akan menjadi lebih positif. Pembangunan fizikal ini dapat dilihat dalam aspek penampilan, hasil kerja, pengurusan masa dan tingkah laku. Dari aspek penampilan dapat dilihat individu itu akan tampil lebih kemas dan bersih. Dari segi penghasilan kerja pula, dilihat lebih teratur dan terancang. Manakala dalam pengurusan masa,  lebih menepati masa dalam setiap pekerjaan dan tugas yang dipertanggungjawabkan. Tingkah laku yang dipamerkan juga mengikut arahan dan situasi yang bersesuaian dengan keadaan pada masa itu selain boleh menjadi contoh kepada murid dan rakan sejawat.


Cara berfikir
Setelah berjaya membangunkan aspek spiritual, emosi, dan fizikal, guru ini akan mula mempunyai fokus, visi, misi dan matlamat yang ingin dicapai dalam setiap tindakan yang dirancang. Individu guru akan menilai tujuan dan kesan daripada tindakan yang akan dibuat. Guru tersebut juga lebih mengutamakan kepentingan umum daripada kepentingan peribadi.

Interaksi dan hubungan sosial
Setelah individu guru berjaya membangunkan spiritual, emosi, fizikal dan cara berfikir yang positif, individu guru tersebut akan mula memperbaiki interaksi dan hubungan sosial agar menjadi lebih baik. Interaksi dan hubungan sosial yang baik dibina bertujuan memudahkan individu guru melaksanakan tanggungjawabnya di sekolah. Kemahiran berinteraksi dan bersosial akan membentuk keyakinan diri guru  untuk menyampaikan idea dan pendapat dalam apa jua situasi yang diperlukan. Akhirnya individu yang bermasalah ponteng dapat membangunkan sahsiah dirinya menjadi insan yang unggul.

Rumusan
Isu ponteng di kalangan guru merupakan satu masalah yang perlu ditangani dengan bijak oleh pihak yang bertanggungjawab. Jika masalah ini gagal ditangani dengan berkesan, maka ia akan melahirkan insan guru yang mempunyai sahsiah diri yang negatif dan pasif. Namun sekiranya jika pihak yang bertanggungjawab mampu mengambil langkah yang pantas dan berkesan, adalah tidak mustahil akan lahir insan guru yang unggul dan berketerampilan daripada kalangan guru yang bermasalah ponteng.


TUGASAN 1(c)
Setiap tingkah laku adalah pilihan kita sendiri. Mengikut Teori Pilihan (Choice Theory), kesemua tingkah laku manusia berasaskan kepada keinginan psikologi dan fsiologi individu. Menurut Ahmad Jazimin (2010) dalam penulisannya yang bertajuk Pendekatan Kognitif : Teori Pilihan dan Terapi Realiti, keinginan psikologi merangkumi seseorang individu yang ingin menyayangi dan disayangi, ingin penghargaan daripada orang lain, inginkan kebebasan dan inginkan kegembiraan. Manakala aspek fsiologi pula merujuk kepada kelangsungan hidup yang merangkumi individu itu berani mengambil risiko, mempunyai wang yang cukup, keselamatan, dilindungi dan seksual yang sihat.

Menurut Teori Pilihan  individu bermasalah akan menghasilkan konflik apabila keinginan psikologi dan fsiologi mereka tidak dapat dipenuhi. Namun begitu konflik juga timbul apabila individu tersebut mendapat apa yang mereka tidak inginkan. Justeru itu konflik ini akan mempengaruhi tingkah laku, pemikiran, perasaan dan fisiologi individu tersebut. Individu akan gagal membentuk personaliti yang diinginkan. Personaliti gagal akan memilih tingkah laku tidak efektif dan akan mendorong kepada pembentukan sahsiah yang negatif.

Hubungkait Isu Ponteng Guru dengan Teori Pilihan
Setiap individu mempunyai keperluan, kehendak, harapan dan impian masing-masing. Walaubagaimanapun, seringkali pilihan yang dibuat adalah berdasarkan kepada pengalaman, konflik dan situasi yang dialami.
Dalam Teori Pilihan keperluan individu ditentukan oleh keperluan asas (basic needs), iaitu empat keperluan psikologi dan satu keperluan fisologi.

Keperluan Psikologi
1.        Menyayangi dan disayangi
Antara faktor berlakunya ponteng dikalangan guru adalah disebabkan tidak mendapat keperluan asas ini, iaitu menyayangi dan disayangi. Contohnya guru yang menghadapi konflik rumah tangga yang berpanjangan akan mengalami gangguan emosi. Sebahagiannya memilih untuk bermurung daripada menyelesaikan konflik tersebut. Kesan daripada kemurungan akan menyebabkan individu itu memilih tingkah laku yang tidak efektif seperti suka mengasingkan diri dan lari daripada tanggungjawab termasuklah tanggungjawab sebagai seorang guru akibat perasaan kecewa, malu dan rendah diri.

2.        Inginkan penghargaan
Seorang guru yang tekun bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh untuk kecemerlangan sekolah tetapi tidak mendapat penghargaan yang sewajarnya daripada majikannya dan sering dikritik oleh rakan sejawat akan merasa amat kecewa dan rendah diri. Keadaan akan menjadi lebih buruk jika orang lain yang mendapat penghargaan daripada hasil usahanya. Guru tersebut akan hilang motavisi diri dan memilih mempamerkan tingkah laku tidak efektif iaitu tidak berpuas hati dan mula memberontak. Sikap memberontak ini ditunjukkan melalui perlakuan yang menyalahi peraturan sekolah dan etika keguruan termasuklah ponteng sekolah, ponteng kelas, ponteng mesyuarat dan sebagainya.

3.        Inginkan kegembiraan
Naluri setiap individu inginkan kegembiraan, suasana ceria yang menyenangkan. Begitu juga dengan guru, memerlukan suasana tempat kerja yang mengembirakan hati dan perasaan. Oleh itu, apabila suasana di sesebuah sekolah tidak menyediakan suasana seperti mana yang diinginkan oleh guru tersebut, maka guru akan kurang motivasi dan mengalami stress dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab di sekolah. Justeru itu, sesetengah guru yang gagal menangani masalah ini akan cenderung memilih dan mempamerkan tingkah laku yang tidak efektif termasuklah ponteng sekolah dan ponteng kelas.

4.        Inginkan kebebasan
Kebebasan merancang dan mencorakkan kerja mengikut acuan sendiri menjadi idaman setiap individu. Namun begitu dalam pengurusan sesebuah sekolah kebebasan memilih kadang-kadang tidak dapat dipraktikkan. Contohnya, pihak sekolah dibebani dengan pelbagai program daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang perlu dilaksanakan secara serentak. Guru pula sebagai pelaksana dibebani dengan pelbagai jawatan sampingan selain daripada mengajar di dalam bilik kelas. Pihak pentadbir biasanya akan memilih guru yang bertanggungjawab untuk melaksanakan sesuatu program dan mencapai objektif yang disasarkan. Bebanan ini akan lebih dirasai oleh guru-guru sekolah yang kekurangan guru. Menurut Teori Pilihan konflik juga berlaku apabila individu mendapat apa yang tidak mereka kehendaki. Justeru itu guru yang menyerap tekanan akan mengalami stress dan memilih tingkah laku yang tidak efektif iaitu ponteng kelas dengan alasan melaksanakan tugasan daripda pihak jabatan ataupun kementerian.

Keperluan Fisiologi
Keperluan fisilogi meliputi keperluan makan minum, tempat tinggal, pakaian, pengangkutan dan lain-lain untuk meneruskan hidup. Keadaan ekonomi Malaysia yang tidak menentu dan kos sara hidup yang semakin tinggi menyebabkan kerajaan telah memberi kebenaran kepada penjawat awam melibatkan diri dalam perniagaan selagi tidak mengganggu tugas utama mereka. Lantaran dari itu, ramai di antara guru telah mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam urusan perniagaan.

Dalam Teori Pilihan, keperluan fisiologi merupakan keperluan asas yang perlu dicapai untuk terus hidup. Akhirnya timbul konflik antara kepentingan mencapai keperluan fisiolog dengan tanggungjawab sebagai guru di sekolah. Dalam keadaan ekonomi yang mendesak, sebahagian guru sering kali membuat pilihan mengutamakan urusan perniagaan dan mengabaikan tanggungjawab sebagai guru di sekolah. Maka terjadilah masalah ponteng sekolah dikalangan guru kerana ingin memenuhi desakan  dan keperluan hidup tanpa memikir kesan yang akan mereka hadapi sekiranya mengabaikan tanggungjawab di sekolah. Lahirlah golongan guru yang mempunyai sahsiah yang negatif yang akan mencalarkan profesion perguruan.

RUMUSAN
Masalah guru ponteng amat berkait rapat dengan Teori Pilihan. Di mana guru yang terlibat dalam masalah ponteng adalah daripada kalangan guru yang gagal memenuhi keperluan psikologi dan keperluan fisiologi. Kegagalan untuk memenuhi keperluan psikologi dan fisiologi ini menyebabkan guru tersebut memilih jalan yang salah iaitu mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang guru.

RUJUKAN
http://coretanummicikgu.blogspot.com/2012/05/tugasan-3-etika-profesionperguruan.html
Ahmad Jazimin & Muhammad Bazlan Mustafa.(2011). Pembangunan Sahsiah : Unit 5 – Pendekatan Kognitif Teori Pilihan dan Terapi Realiti. Perak : Universiti Perguruan Sultan Idris
Ishak Ismail. (2010, April). Murung bawa kesan negative kepada individu. Pendidik Bil. 71, 26-28
Kamus Dewan Edisi Ketiga.(2002). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Kementerian Pendidikan Malaysia (2003). Panduan Penyelenggaraan Tindakan Tatatertib Kementerian Pendidikan Malaysia. Bahagian Sumber Manusia : Kementerian Pendidikan Malaysia
Kyriacou, C., & Sutcliffe, J. (1978). Teacher stress : Prevalence, sources and Symptoms.   
British Journal of Education Psychology, 48, 159-167.


Mok Soon Sang.(2007). Kursus Penilaian Tahap Kecekapan Guru (P.T.K) Pengajaran dan Pembelajaran (P&P). Selangor : Multimedia-Es Resources Sdn. Bhd
Mohd Muzafar Shah Mohd Razali, Aslina Ahmad & NazariahAbd.Samad.(2011). Pembangunan Sahsiah : Unit 10 -  Isu-isu dalam pembentukan sahsiah guru. Perak : Universiti Perguruan Sultan Idris

Sakinah Salleh (2010, September). Guru perlu ada motivasi. Pendidik Bil.76, 34-35
  

No comments:

Post a Comment

Senarai blog yang dirujuk